Elaun bulanan Khas, Bomba Sarawak ucap terima kasih kepada kerajaan Sarawak

Khirudin(tiga dari kiri) semasa mengetuai kerja-kerja sanitasi di Bandaraya Kuching baru-baru ini. (Gambar Fail)

KUCHING, 9 MEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(Sarawak) mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas pemberian elaun bulanan khas RM200 selama 6 bulan kepada petugas barisan hadapan agensi dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Pengarah Bomba Negeri Khirudin Drahman berkata, pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 3.0 semalam telah menaikkan semangat dan motivasi anggotanya untuk melaksanakan tanggungjawab.

Katanya,anggota barisan hadapan Bomba tidak tersenarai sebagai penerima elaun di dalam BKSS 1.0 dan 2.0.


“Namun demikian, sejak hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) anggota Bomba telah berada di lapangan untuk memberikan bantuan kemanusiaan.

“Tindakbalas proaktif kita tidak pernah luntur untuk membantu Sarawak menangani penularan Covid-19 walapun selepas BKSS 1.0 dan BKSS 2.0,” katanya.

Beliau menyifatkan pemberian elaun tersebut adalah sebagai penghargaan dari kerajaan negeri atas sumbangan dan pengorbanan anggotanya.

Seramai 887 anggota Bomba dan Penyelamat Sarawak bakal menikmati elaun bulanan khas tersebut.

Anggota-anggota ini terlibat dalam menjalankan perkhidmatan kecemasan dan kerja-kerja sanitasi, khususnya di kawasan berisiko tinggi.—DayakDaily