Ekspedisi Saintifik Banjaran Kelingkang April 1-13

Peserta merakamkan kenangan di kem ekspedisi di Banjaran Kelingkang.

Oleh Chris Bishop

SRI AMAN, April 3: Pemilihan Banjaran Kelingkang sebagai lokasi Ekspedisi Saintifik Jabatan Hutan Sarawak (JHS) diharap dapat menemukan pelbagai spesis baru dan unik atau rekod baru buat Negeri Sarawak.

Timbalan Pengarah JHS, Abang Ahmad Abang Morni berkata Banjaran Kelingkang telah menjadi sebahagian daripada kawasan Heart of Borneo(HoB) maka banyak penyelidikan harus dilakukan.


Menurut Abang Ahmad, kajian kurang dilakukan di persekitaran Bukit Kelingkang dan pemilihan sebagai lokasi ekspedisi kali ini adalah tepat.

“Ekspedisi menjadi salah satu landasan untuk komuniti setempat berkerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam merealisasikan objektif untuk memulihara dan memelihara hutan.

“Disamping itu kita juga ingin mengenalpasti spesies-spesies tumbuhan yang berpotensi atau sesuai untuk dikormesialkan,” ujar Abang Ahmad.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Ekspedisi Saintifik Banjaran Kelingkang bertempat di Rh Stephen Anak Karin, Selepong Berangan, Sri Aman.

Abang Ahmad (empat dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Tuai Rumah Stephen Karin, Selepong Berangan. Turut kelihatan Runi (empat dari kiri).

Selain dari itu tambah Abang Ahmad, pelbagai program bersama masyarakat telah dan bakal diadakan pada tahun ini bersempena ulang tahun ke-100 penubuhan JHS.

Bahagian Perhutanan Sosial ujar beliau telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan projek untuk Program Khidmat dan Pembangunan Komuniti.

Sementara itu, Penolong Pengarah Hutan Kanan JHS Runi Sylvester Pungga selaku Pengerusi ekspedisi yang turut berucap semasa majlis tersebut berkata ekspedisi yang bermula dari April 1-13 itu dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi JHS melibatkan seramai 45 orang peserta dari Jabatan Hutan dan 11 orang penduduk kampung.

Menurut Runi, antara bidang-bidang penyelidikan yang diwakili semasa tempoh ekspedisi tersebut adalah kajian dan dokumentasi biodiversity flora dan fauna.

“Ia termasuk spesimen tumbuhan, biji benih seperti koleksi kulat, dokumentasi etnobotani, fisiologi tumbuhan, koleksi serangga, ular, katak, dan juga koleksi sampel air dan tanah.

“Semua penemuan-penemuan ini akan direkodkan dan akan dibentangkan bersama penduduk kampung di akhir ekspedisi ini nanti,” ujarnya.

Menurutnya lagi, ekspedisi kali ini juga bertujuan untuk membantu dan bekerjasama dengan penduduk kampung dalam bidang eko perlancongan.

Sesi fotografi peserta ekspedisi dan penduduk kampong dan ketua-ketua jabatan bersama Abang Ahmad (baris kedua, duduk tengah).

Aktiviti ekspedisi tidak berakhir disini sahaja kerana beberapa aktiviti susulan dirancang dimasa akan datang, tambah Runi.

“Kami berharap kerjasama diantara Jabatan Hutan dan penduduk kampung akan terus terjalin.”

Disamping itu, agensi-agensi lain juga turut dialu-alukan untuk bersama-sama JHS untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan persekitaran dan pemuliharaan, ujar Runi.

Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh penduduk kampung dan tuai rumah-tuai rumah dari sekitar Selepong dan kakitangan JHS.

Hadir sama Pegawai Hutan Bahagian Sri Aman Nixon Girang Mang, Ketua Polis Balai Sri Aman ASP Kerry Dunstan Muda dan wakil dari Pejabat Residen Bahagian Sri Aman Frank Lani. — DayakDaily