Eksesais Tiger Gold 2018 akan berlangsung selama 21 hari

Colonel Stephen (dua dari kiri) bersapa dengan anggota tentera yang terlibat dalam eksesais.

– oleh Dean Adam

SRI AMAN, Okt 10: Panglima 3 Briged, Brigadier Jeneral Bustaman Mat Zin bersama Defend Advisor British High Commission, Colonel Stephen telah merasmikan majlis pembukaan Eksesais Tiger Gold 2018 bertempat di Padang Kawad 13 RAMD, Kem Pakit di sini hari.

Eksesais Tiger Gold 2018 adalah latihan bilateral di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat British (TDB) yang julung kali dilaksanakan.

Jurucakap 3 Briged, eksesais pada tahun ini akan dikelolakan oleh TDM iaitu formasi 3 Briged.

Katanya, eksesais tersebut akan dilaksanakan mulai Oktober 8 hingga 28 depan iaitu selama 21 hari.

“Latihan itu merangkumi latihan silang, latihan ikhtiar hidup dan latihan penyesuaian di Batalion Ketiga Belas Rejimen Askar Melayu DiRaja (13 RAMD), Kem Pakit, Sri Aman.

“Manakala latihan medan (FTX) akan dilaksanakan di Kawasan Am Hutan Simpan Lubuk Antu,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan para anggota tentera yang terlibat dalam eksesais.

Jurucakap sama memberitahu, seramai 350 anggota kumpulan Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja bersama 120 anggota TDB, 31 anggota Rejimen 511 Askar Wataniah (AW) dan 30 anggota Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (sebagai musuh latihan) akan terlibat secara langsung dengan eksesais tersebut.

Tambahnya, konsep latihan itu adalah tertumpu kepada Peperangan Melawan Insurgensi (PMI) dalam situasi hutan dan muka bumi Malaysia yang melibatkan aturgerak pasukan 13 RAMD, 1 x Kompeni TDB dari 2nd Battalion The Royal Gurkha Rifles dari Seria Camp, Brunei dan 1 x Platun Rejimen 511 Askar Wataniah (AW) sebagai Pelaku Biru menentang satu kumpulan musuh yang dikawal sebagai Pelaku Merah dari Batalion Kesebelas Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD).

“Objektif eksesais ini adalah untuk menguji fungsi kawalan pemerintahan di peringkat batalion dan kompeni infantri dalam operasi gabungan.

“Ia diyakini mampu meningkatkan keupayaan kedua-dua pihak bagi melaksanakan operasi di dalam konteks operasi menentang gerila dan meningkatkan kerjasama hubungan dua hala antara TDM dan TDB,” katanya. ā€” DayakDaily