Ejen hartanah ditemui mati di Batu Kawah

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Advertisement

KUCHING, 9 Feb: Seorang ejen hartanah ditemui mati dengan kesan kecederaan di muka serta patah kedua-dua kakinya di tempat letak kereta sebuah apartmen di Jalan Batu Kawah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa, 39 tahun ditemui dalam keadaan meniarap oleh orang awam.

Katanya, orang awam terbabit kemudian terus melaporkan kepada pihak polis sekitar jam 1.30 pagi.

Advertisement

“Pihak perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang hadir juga mengesahkan kematian mangsa dan tiada sebarang tanda-tanda jenayah mahupun penemuan objek tajam atau tumpul di lokasi kejadian.

“Mayat telah dibawa ke bilik mayat HUS untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut isteri mangsa yang turut ditemui di lokasi kejadian mendedahkan mangsa keluar dari rumah mereka pada jam 9 malam hari Rabu.

“Dia tidak memberitahu hendak pergi ke mana sehinggalah di sedari mangsa telah meninggal dunia sebaik sahaja melihat kehadiran polis di lokasi kejadian iaitu tempat letak kereta kediaman mereka,” katanya.

Sementara itu katanya, pihak polis kini sedang melakukan siasatan lanjut termasuk melakukan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dengan secepat mungkin.

Setakat ini katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). — DayakDaily

Advertisement