Oleh Brad Rantayy
MIRI, 2 Julai: Dua individu, warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sini, ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, serbuan dilakukan jam 4 petang itu turut merampas sejumlah 4,642 gram syabu bernilai RM167,112.
Serbuan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Acacia 3, Shang Garden di sini.
Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua suspek berusia 30 dan 36 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu) .
“Siasatan awal mendapati dadah yang dirampas itu untuk dijual di pasaran tempatan,” kata Hakemal semasa sidang media di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang media tersebut Ketua bahagian Jabatan Siasatan Jenahah Narkotik (JSJN) IPD Miri ASP Mingat Bakil.
Serbuan itu dilakukan sepasukan anggota dari JSJN negeri (IPK) dan JSJN IPD Miri.
Difahamkan, sebelum serbuan, kedua-dua suspek telah melakukan kegiatan tersebut beberapa bulan.
Selain dadah, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza anggaran nilai RM30,000.
Kedua-dua suspek kini sedang direman sehingga 6 Julai dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily