Dua pusat hiburan diserbu, tujuh daripada 43 diperiksa didapati positif dadah

Pemeriksaan dilakukan oleh pihak polis.

KUCHING, 15 Ogos: Seramai tujuh lelaki ditangkap selepas didapati positif dadah dalam serbuan ke atas dua premis hiburan di Jalan Ban Hock dan Jalan Song Thian Cheok malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 51 tahun.

Katanya, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

“Pasukan serbuan telah melakukan pemeriksaan ke atas 43 orang di dua buah premis hiburan tersebut dan hasil saringan awal air kencing mendapati tujuh daripadanya terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Kesemua tujuh suspek terbabit kemudian ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, jika suspek disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha kita memerangi jenayah dadah. — DayakDaily