Op Samseng Jalanan: Dua dicekup kerana lakukan aksi berbahaya di Sibu

Siasatan polis dijalankan ke atas suspek yang ditahan.

SIBU, 15 Ogos: Padah menimpa dua orang lelaki apabila dicekup polis kerana menunggang mortosikal dengan berbahaya pada malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata kedua-dua suspek yang berusia 18 dan 21 tahun itu dikesan melakukan kesalahan tersebut di Jalan Bujang Suntong (Dataran Tun Tuanku Bujang).

Katanya, mereka ditangkap oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu melalui Op Samseng Jalanan yang dijalankan dari jam 9.30 malam hingga 2.30 pagi tadi.

Jelasnya, kedua-dua suspek disiasat dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1897 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.

Selain itu, sebanyak lapan buah motosikal turut ditahan dan disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 dalam operasi tersebut.

Sementara itu, Zulkipli berkata, seorang lagi penunggang motosikal didapati melakukan kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kes disiasat dibawah Seksyen 108 APJ 1987.

Sebanyak 44 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi tersebut dijalankan.

Seorang penunggang motosikal turut ditahan kerana didapati mengunakan nombor pendaftaran palsu.

Zulkipli menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak sesekali melakukan aksi-aksi merbahaya di jalan raya. — DayakDaily