Dua pemaju tempatan diarah membayar RM9,560 kepada pembeli rumah

Maznah (tengah) dan Ahli Panel TPPS Lim (kiri) dan Robert (kanan)mengadakan sidang media selepas mendengar empat kes di DUN Lama, Petra Jaya.

KUCHING, Ogos 28: Tribunal Tuntuan Pembeli Perumahan Sarawak (TPPS) telah mengarahkan dua pemaju tempatan membayar ganti rugi keseluruhannya sebanyak RM9,560 kepada pembeli rumah atas kelewatan menyerahkan rumah dalam dua kes berasingan yang didengar tribunal itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Dalam kes pertama Presiden TPPS, Dato Maznah Dasmi mengarahkan pemaju membayar ganti rugi itu kepada pengadu Adrus Mohd Tazuddin dan Nur Rafida Abdillah sebanyak RM4,160 kerana lewat menyerahkan rumah teres sudut dua tingkat dibeli mereka dengan harga RM550,000 di Salak Land District selama 16 bulan dan 15 hari.

“Sepatutnya rumah terbabit boleh diserahkan (bagi diduduki pembeli) selepas disambungkan dengan bekalan air dan elektrik, tetapi sampai sekarang masih belum lagi dan mereka tidak tahu kenapa tiada bekalan air,” katanya dengan juga mendengar kes terbabit ialah Ahli Panel TPPS, Peter Lim Thiam Seng dan Robert Elone Sireng.

Maznah berkata tribunal sehubungan itu memutuskan yang rumah terbabit telah tidak diserahkan pemajunya kepada pembeli selama 16 bulan dan 15 hari yang keseluruhan ganti ruginya sebanyak RM6,600 tetapi berikutan pembeli sebelum ini sudah ada menerima ganti rugi sebanyak RM2,550 dari pemaju maka bayaran gantirugi perlu dibayar yang tinggal sebanyak RM4,160.

“Pembeli juga ada menyenaraikan banyak kecacatan pada rumah yang dibeli dan kami memutuskan kecacatan rumah terbabit dilakukan pemeriksaan bersama dengan jurutera Kementerian (Kerajaan Tempatan dan Perumahan) dan selepas itu meminta pemaju memperbetulkan kecacatan itu mengikut piawaian kami dan bukan piawaian pemaju,” katanya.

Dalam kes kedua, TPPS mengarahkan pemaju membayar sebanyak RM5,400 kepada Bernadette Doris Ridis Rinyod kerana telah lewat menyerahkan rumah teres sudut dua tingkat di Matang Land Distict yang berharga RM410,000 dibelinya selama 13 bulan dan 15 hari.

Maznah berkata ini kerana pemaju memberi alasan kelewatan terbabit disebabkan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) telah lambat menyiapkan projek perparitan kawasan itu yang melambatkan pengeluaran Permit Menduduki (OP) dan seterusnya menjadi punca mereka lambat menyerahkan rumah kepada pembelinya.

“Kita menjelaskan kepada pemaju yang sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka bagi berbincang masalah terbabit dengan agensi berkaitan dan kita menanggap ini sebagai kelewatan pemaju menyerahkan rumah kepada pembeli,” katanya.

Katanya mengikut perjanjian, setiap bulan pemaju perlu membayar RM400 sebagai gantirugi lewat menyerahkan rumah, maka jumlah keseluruhan perlu dibayar pemaju bagi tempoh itu ialah RM5,400 disamping semua kecacatan rumah akan dilihat jurutera kementerian bagi memutuskan kerja pembetulan kecacatan itu yang perlu dan mengikut piawai kementerian.

“Pembeli juga ada meminta tanah bagi menutupi kawasan rumahnya yang dipenuhi sampah pembinaan dan pemajunya bersedia membantu membelikan tanah terbabit asalkan bukan tanah liat, walaupun ini tiada dalam perjanjian jual beli rumah itu,” katanya.

Manakala dalam kes ketiga diadukan pembeli Lau Lee Haw dan Lau Lee Hing, Maznah berkata pemaju bersetuju bagi jurutera kementerian melihat aduan pembeli yang tangga dalam rumah teres sudut dua tingkat berharga RM488,000 di Muara Tebas Land District dibeli mereka adalah kecil dari saiz sepatutnya dan tangga akan dilakukan pembetulan pihak kontraktor serta pemaju membayar kos pembetulan kepada kontraktor.

Bagi kes ketiga dan juga kes keempat yang diadukan pembeli, Lau Lee Kiing, Lau Lee Jiun dan Lu Mee Giik, tribunal meminta pemaju memastikan kebenaran dakwaan pembeli yang ada kakitangannya telah menawarkan mereka potongan harga sebanyak RM5,000 sekiranya membeli tiga unit rumah sekaligus tetapi selepas itu tidak melaksanakan tawaran itu dan pemaju mengambil tindakan sewajarnya sekiranya dakwaan itu benar. — DayakDaily