Pejalan kaki temui ajal akibat dilanggar kenderaan

Kelihatan lokasi kemalangan di mana pejalan kaki maut dirempuh.

MIRI, Ogos 28: Seorang pejalan kaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di simpang lampu isyarat Pujut di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu mengakibatkan mangsa, Seteven Ajang, 29, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Miri.

Lelaki Penan itu disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan pada pukul 7.40 pagi.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang berjalan kaki di bahu jalan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, satu kemalangan kemudian berlaku di situ sebelum dia pergi berhampiran kawasan kejadian berkenaan.

“Apabila mangsa menghampiri kawasan kemalangan itu, tiba-tiba sebuah Toyota Harrier merempuh belakang Toyota Hilux sebelum kenderaan tersebut berpusing dan merempuh mangsa.

“Akibat rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badannya,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, dua lagi pemandu masing-masing berusia 24 dan 49 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa akan dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily