Dua parah dalam kemalangan di Jalan Tatau-Sibu

Operasi menyelamat di lokasi kejadian.

TATAU, 30 Mac: Dua lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan pacuan empat roda (4wd) di Simpang Sangan Kilometer 57 Jalan Tatau-Sibu semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.36 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau diketuai Ketua Balai Jankey Jikat terus dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah Toyota Hilux jenis Single Cabin dengan Double Cabin yang dipercayai bergerak dari Tatau ke Sibu.

“Didapati terdapat seorang mangsa didapati masih terperangkap di dalam Toyota Hilux single cabin dan pasukan operasi terus melakukan penyelamatan mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mangsa yang berusia 60 tahun itu kemudian terus diserahkan kepada pihak ambulans selepas berjaya dikeluarkan.

Manakala dua mangsa dari dalam Toyota Hilux jenis double cabin dilaporkan berjaya keluar sendiri dari dalam kereta.

“Salah seorang daripada mangsa juga mengalami kecederaan parah dan seorang lagi mengalami cedera ringan,” katanya.

Kesemua mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Pasukan Bomba kemudian berangkat pulang ke balai selepas membuat penilaian di lokasi kejadian dan memastikan keadaan selamat. — DayakDaily