Sindiket pembalakan haram di Tatau tumpas

Kayu balak haram yang dirampas oleh pihak berkuasa.

TATAU, Dis 23: Satu sindiket pembalakan haram di Sungai Mina, Kakus dekat sini berjaya dipatahkan oleh pasukan dari Sarawak Forestry Corporation (SFC) bersama Pasukan Polis Marin dan anggota polis dari Balai Polis Tatau, pada Selasa lalu.

SFC dalam satu kenyataan akhbar semalam berkata, menerusi operasi bersepadu itu, pihak berkuasa telah berjaya merampas 4,232 batang kayu balak daripada pelbagai spesies dan jenis.

Kata SFC, kejayaan itu merupakan hasil daripada risikan serta intipan yang dijalankan sebelum ini.

“Siasatan awal mendapati, kesemua kayu balak haram itu ditebang dari kawasan hutan terlindung.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati kesemua kayu balak itu dipercayai baharu ditebang dan dilonggokkan di pusat pengumpulan kayu di situ sebelum ia dipunggah,” kata SFC dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Dalam kenyataan sama, SFC memberitahu, pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang cop pengesahan rasmi daripada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) iaitu pada bahagian pangkal dan hujung kayu balak terbabit.

“Nilai rampasan kesemua kayu balak itu masih belum dapat dipastikan sehingga siasatan selesai dilaksanakan.

“Satu laporan polis berhubung kejadian sudah dibuat sebelum diserahkan kepada JHS untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Ordinan Hutan 2015 dan pembalak haram boleh dikenakan hukuman penjara mandatori dan denda RM25,000 bagi setiap kesalahan jika didapati bersalah. — DayakDaily