Dua lelaki yang dirakam mengacukan senapang dan parang, ditangkap polis

Ahsmon dan Timbalannya Supt Merbin Lisa menunjukkan senjata yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, 6 Julai: Dua lelaki yang dikehendaki polis selepas tular dalam satu video di media sosial yang menunjukkan mereka mengacukan senjata merbahaya berjaya ditangkap.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua suspek ditangkap di Jalan Datuk Mohd Musa di Kota Samarahan pada 5 Julai lalu.

Jelas beliau kedua-dua suspek berusia 19 dan 25 tahun itu ditangkap selepas berjaya dikesan dalam tempoh 24 jam kejadian tersebut dilaporkan.


Ahsmon memberitahu suspek ketika ditahan mengaku bahawa mereka merupakan individu yang telah tular dalam laman media sosial Facebook pada 4 Julai lalu.

“Susulan daripada tangkapan ini polis turut berjaya mengesan dan merampas senjata berupa selaras senapang patah jenis Winchester 12 Bore dan sebilah parang,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Hasil siasatan awal juga mendapati punca insiden dipercayai akibat masalah peribadi antara suspek dan mangsa.

“Bagaimanapun kita masih menyiasat sama ada perakam video terbabit merupakan mangsa sendiri atau orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Berbahaya 1958.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 atas kesalahan membawa senjata tanpa permit yang mana kesalahan ini boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih tujuh tahun dan denda. — DayakDaily