Dua lelaki termasuk remaja direman 4 hari, disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah

Rampasan dadah daripada dua suspek.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Julai 7: Dua lelaki termasuk seorang remaja direman selama empat hari sehingga Julai 10 depan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Kedua-dua suspek telah diberkas oleh sepasukan anggota polis pada pukul 9.50 malam pada Jumaat lalu.


Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa berkata, kedua-dua suspek telah ditahan di sebuah pondok kecil di Kampung Bumbok di sini.

Katanya, suspek-suspek yang diberkas berusia 16 dan 24 tahun.

“Hasil serbuan, pasukan polis merampas dadah jenis syabu seberat 6.25 gram.

“Anggaran rampasan dadah itu berjumlah RM880,” katanya di sini hari ini.

Merbin menambah, kes disiasat di bawah 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 2 tahun tetapi tidak lebih daripada 5 tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat, tidak kurang 3 sebatan dan tidak lebih daripada 9 sebatan.

Manakala Seksyen 12 (2) ADB 1952 pula membawa denda tidak lebih RM100,000 atau dikenakan penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali. — DayakDaily