Dua lelaki membawa masuk syabu bernilai RM440,000 ditahan di Miri

Lim (kanan) bersama Wong (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 Julai: Cubaan dua lelaki tempatan membawa masuk dadah jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM440,000 ke Miri gagal, apabila mereka ditahan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Miri malam Rabu lepas.

Menurut ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, kedua-dua suspek berusia 16 dan 20 tahun itu, ditahan sebaik tiba dari  Kuala Lumpur menggunakan sebuah penerbangan tambang murah pada jam 7.45 malam.


“Hasil pemeriksaan ke atas dua bag bagasi berwarna putih dan perak milik suspek, polis menemukan ketulan mampat disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat sebanyak 11kg,” ujar Lim pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir ialah timbalan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Wong Leong Meng.

Beliau menambah dadah tersebut dibungkus menggunakan plastik teh hijau Cina.

“Salah seorang suspek merupakan pelajar pusat kemahiran dan teknikal, sementara seorang lagi tidak bekerja,” jelasnya.

Lim berkata dadah yang dirampas itu dianggarkan dapat digunakan sebanyak 22,000 penagih di daerah Miri.

“Ujian air kencing kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu,” jelasnya

Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 30 Julai untuk membantu siasatan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-DayakDaily