Dua lelaki durjana rogol kanak-kanak 9 tahun diberkas

Royal Malaysia Police logo

BAU, Ogos 13: Perbuatan durjana dua lelaki yang disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun akhirnya membawa padah apabila mereka ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Mohd Sabri Zainol berkata, kedua-dua suspek yang diberkas itu masing-masing berusia 49 dan 16 tahun.

Menurutnya, tangkapan tersebut dilakukan susulan laporan polis yang diterima terhadap kedua-dua suspek berhubung dakwaan merogol mangsa.


“Siasatan awal mendapati, suspek berusia 49 tahun itu bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala seorang lagi remaja lelaki merupakan penganggur.

“Mangsa pula merupakan masih bersekolah di sebuah sekolah rendah di daerah ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Sabri memberitahu, perbuatan jijik dua suspek berkenaan terbongkar selepas mangsa tersebut mendedahkan perkara itu kepada guru sekolahnya pada Ogos 9 lepas.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa disyaki telah menjadi tempat suspek berusia 16 tahun melepaskan nafsu serakahnya lebih daripada 10 kali.

“Pengawal keselamatan terbabit pula mengaku telah memaksa kanak-kanak berkenaan melakukan onani di tempat kerjanya.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya lagi.

Sambil menambah, jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan. — DayakDaily