Dua lelaki ditangkap kerana bergaduh di Sarikei

PDRM logo

SARIKEI, 18 Mac: Dua lelaki yang dipercayai individu yang bergaduh dalam video tular di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Pinang Laka, di sini ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Aswandy Anis berkata kedua-dua suspek ini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana kesalahan gaduh gempar di tempat awam.

“Merujuk kepada satu video yang telah tular di laman sosial berkenaan dua individu bergaduh menggunakan kerusi plastik yang berlaku di Sarikei.


“Siasatan mendapati kejadian berlaku di Jalan Pinang Laka dan pihak polis telah menahan dua individu terbabit dalam kes pergaduhan ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Aswandy menegaskan bahawa pihaknya memandang serius ke atas apa-apa kejadian yang boleh mengugat ketenteraman awam.

“Pihak polis menyeru kepada masyarakat agar terus menyalurkan apa-apa maklumat kejadian jenayah kepada polis,” katanya. — DayakDaily