Dua kes baharu rabies dilaporkan di Sarawak, dengan satu kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Dua kes rabies kalangan manusia dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sarawak menjadikan jumlah kes berkaitan rabies di negeri itu meningkat kepada lapan kes sehingga kini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media hari ini, kes ketujuh melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun manakala kes kelapan melibatkan seorang lelaki berusia 58 tahun.

“Bagi kes ketujuh, mangsa mempunyai sejarah digigit anjing di bahagian muka pada 2 November 2020 dan terus dimasukkan ke Hospital Bau untuk menerima suntikan immunoglobulin rabies (RIG) dan vaksin anti-rabies sebelum dibenarkan keluar hospital dalam keadaan sihat pada 6 November lalu.


“Namun begitu, pada 13 November 2020 sehingga 15 November 2020, kanak-kanak ini mengalami demam panas, lemah anggota badan, kurang selera makan, gelisah, hidrofobia dan menunjukkan tingkah laku agresif.

Tambah beliau, kanak-kanak terbabit kini dalam keadaan stabil sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak telah disahkan dijangkiti virus rabies pada 25 November lalu menerusi ujian makmal oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Menurut Dr Noor Hisham, bagi kes rabies kelapan, mangsa dimasukkan ke wad di Hospital Lundu pada 19 November lalu selepas mengalami gejala sakit dan lemah badan selama tiga hari selain turut mengadu sakit tekak dengan kesukaran untuk makan serta minum.

Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak apabila keadaan kesihatannya bertambah teruk sebelum disahkan meninggal dunia pada 25 November lalu.

“Mangsa didiagnos rabies meningoencephalitis dan diagnosa disahkan dengan ujian makmal positif rabies oleh IMR pada tarikh sama.

“Mendiang pernah mempunyai sejarah digigit oleh anjing liar pada dua tahun lepas semasa memburu namun begitu dia tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan selepas kejadian tersebut.

Tambah Dr Noor Hisham, pertambahan kes tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak rabies di Sarawak meningkat kepada 30 kes dengan 28 kematian sejak ia mula dikesan pada Julai 2017.

“Hanya terdapat dua kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal,” tambahnya. — DayakDaily