Dua guru wanita dan pembantu kedai mangsa terbaharu ‘Macau Scam’ di Sarawak

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 12: Dua guru wanita antara tiga mangsa terbaharu yang dilaporkan terpedaya dengan sindiket penipuan ‘Macau Scam’ di negeri ini, semalam.

Kes penipuan yang melibatkan kerugian sebanyak RM8,580 tersebut dilaporkan berlaku antara 17 Sept hingga 10 Okt lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kes pertama membabitkan seorang guru wanita berusia 42 tahun di Kuching.

Berdasarkan laporan diterima, wanita berkenaan telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang kemudian memperkenalkan diri sebagai Awang Ibrahim Mohd dan kononnya bertugas sebagai pegawai SPRM.

“Lelaki tersebut kemudian mengatakan mangsa ada membuka akaun Hong Leong Bank di Sabah pada 9 Julai lepas dan akaun tersebut telah digunakan pengedar dadah yang terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

“Selepas itu, talian telefon disambungkan ke IPD Bukit Aman kononnya, dan mangsa telah bercakap dengan rakan suspek yang menyamar sebagai seorang Kpl Zamri. Lelaki itu mengatakan perbualan mereka dirakam,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, lelaki itu juga menyatakan waran tangkap telah dikeluarkan ke atas mangsa dan tangkapan akan dibuat.

Katanya, akibat panik, mangsa kemudian memberikan segala maklumat peribadi seperti alamat rumah, nombor telefon, akaun bank yang aktif (Bank Islam, Maybank, Bank Rakyat dan Tabung Haji) kepada lelaki yang menyamar sebagai Kpl Zamri itu.

“Kemudian lelaki yang menyamar pegawai polis itu mengatakan mangsa perlu memindahkan wang dari akaun-akaun miliknya sementara kerana terlibat kes.

“Tidak lama selepas itu, mangsa mendapati wang di dalam akaun Tabung Haji berjumlah RM4,700.00 telah dipindahkan ke akaun CIMB Bank atas nama Juti Ri,” katanya.

Sementara itu kata Mustafa, kes kedua penipuan ‘Macau Scam’ turut melibatkan seorang guru wanita berusia 26 tahun yang bertugas di Betong.

Jelasnya, guru tersebut dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM3,000 dan kes tersebut berlaku pada 17 Sept lalu.

“Guru berkenaan terpedaya selepas dikatakan mempunyai mempunyai saman dan terlibat dengan kes langgar lari di Jalan Bertam, Pulau Pinang.

“Antara lain, suspek juga dikatakan menyimpan duit di dalam bank berjumlah RM2 juta hasil daripada penyeludupan dadah,” jelasnya.

Kes ketiga kata Mustafa melibatkan seorang pembantu kedai di Bintulu yang mengalami kerugian sebanyak RM880.

Ujarnya, berdasarkan laporan polis, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada kakitangan Bank RHB Cawangan Melaka menyatakan bahawa namanya telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM40,000 dan mempunyai tunggakan sebanyak RM3,795.

“Mangsa yang panik kemudiannya memasukkan wang RM880 hasil daripada gadaian emas miliknya sebagaimana yang diarahkan suspek,” katanya.

Sambil menambah, kes berkenaan masih lagi dalam siasatan. — DayakDaily