Dua gadis ditahan selepas disyaki merosakkan TV di bilik hotel

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 10 Mac: Padah merosakkan sebuah televisyen di sebuah bilik hotel tempat mereka menginap, dua gadis telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Kejadian berlaku di sebuah hotel murah di Lorong Marina 5/2 di sini.

Kedua-dua suspek berusia 19 dan 16 tahun itu ditahan pihak polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) susulan laporan dibuat pihak hotel berkenaan selepas mendapati sebuah televisyen di dalam bilik tersebut telah rosak pada skrin depan, dipercayai perbuatan suspek.

Sebelum kejadian, kedua-dua suspek dilaporkan telah mendaftar menginap di bilik berkenaan bersama dua lagi rakan lelaki mereka pada 5 April sekitar jam 9 malam.

Difahamkan, suspek mendaftar keluar pada 8 April.

Kerosakan dikesan pihak hotel semasa melakukan kerja-kerja pembersihan selepas kedua-dua suspek mendaftar keluar.

Kedua-dua mereka kemudian ditahan pada 9 April sekitar jam 4.30 petang untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. — DayakDaily