Dua ditahan ‘berlumba’ kereta di Sejingkat

Kedua-dua lelaki berusia 32 dan 37 tahun merupakan antara 31 orang yang diperiksa dalam operasi 'Op Samseng Jalanan' tersebut.

KUCHING, 1 Ogos: Dua lelaki ditahan kerana didapati menguji kelajuan kereta masing-masing di Demak Indah 6, Sejingkat di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua lelaki berusia 32 dan 37 tahun merupakan antara 31 orang yang diperiksa dalam operasi ‘Op Samseng Jalanan’ tersebut.

Katanya, keseluruhan sebanyak 25 buah kenderaan diperiksa dalam operasi tersebut yang dijalankan dari jam 5.30 petang hingga awal pagi tadi.


“Kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan lanjut kerana memandu menguji kelajuan.

“Kedua-dua disiasat di bawah Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan serta hilang kelayakan lesen memandu selama setahun.

Selain itu, sebanyak 10 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, gagal tunjuk lesen, ubahsuai ekzos, langgar isyarat papan tanda dan tidak pamer ‘P’.

“Operasi ini dijalankan bagi mencegah dan membanteras samseng jakanan yang memandu atau menunggang kenderaan secara meluru dan merbahaya serta menguji kelajuan,” katanya. — DayakDaily