Sarawak bela nasib OKU dapatkan pekerjaan

Fatimah (tengah) pada Penutupan Seminar OKU Penglihatan di Pustaka Negeri Sarawak.

KUCHING, 9 Mac: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK) komited membela golongan buta untuk mendapatkan pekerjaan.

Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia bagi mencapai sasaran kebangsaan 1 peratus orang kurang upaya (OKU) diambil bekerja di sektor awam dan swasta.

“Sekarang ini ada perubahan sedikit dari segi persepsi awam terutama yang terlibat di dalam pengambilan kakitangan atau pekerja.


“Ini adalah kerana ada majikan yang menelefon kementerian bagi bertanya calon OKU yang boleh diambil bekerja.
“Kini ramai golongan OKU yang berpendidikan dan layak,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Terdahulu Fatimah merasmikan Penutupan Seminar OKU Penglihatan di Pustaka Negeri Sarawak.

Mengulas lanjut, beliau mengalu-alukan usaha Persatuan Orang Buta Sarawak Cawangan Kuching yang telah menyerahkan buku resume.

Katanya, buku tersebut menghimpunkan data OKU bertujuan membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

“Langkah seterusnya adalah dengan adanya maklumat ini diberi kepada kami oleh persatuan, ia akan membolehkan kami membantu mereka untuk membuat job matching.

“Kita akan lihat dari segi profile, pendidikan dan latihan dan kemudian kita akan majukan kepada agensi berkaitan.

“Dengan cara demikian kita ada himpunan pekerja yang boleh dipertimbangkan,” kata Fatimah. — DayakDaily