Polis seru jangan sebar berita tidak sahih kematian seorang lelaki yang ditemui di Jalan Stutong

PDRM logo

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 9 Sept: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kini sedang menjalankan siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang ditemui di tepi Jalan Stutong di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata mangsa berusia 25 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dan kemudian terus dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Katanya, pihak Jabatan Kecemasan HUS mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada jam 8.20 pagi.


“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau selain itu memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menyebarkan dan berkongsi berita atau maklumat tidak sahih di media sosial.

Tegasnya, jika ditangkap dan disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jangan berkongsi berita atau maklumat tidak sahih yang berbentuk spekulasi video atau gambar mangsa bagi menghormati privasi keluarganya,” katanya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau mana-mana Balai Polis berhampiran. — DayakDaily