Dua disyaki ejen judi dalam talian dan loteri haram ditangkap IPD Padawan

Suspek wanita yang ditahan untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 25 Jun: Dua individu disyaki ejen judi dalam talian dan loteri haram ditahan dalam dua operasi berasingan di Jalan Batu Kawa semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, kedua-dua suspek merupakan warga tempatan iaitu seorang wanita berusia 38 tahun dan seorang lelaki berusia 22 tahun.

Jelasnya, serbuan dilakukan hasil risikan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

Beliau memberitahu suspek wanita ditahan sekitar jam 4.49 petang di sebuah Pusat Komersial di Moyan Square berhampiran Jalan Batu Kawa.

“Hasil serbuan berjaya merampas seunit telefon, wang tunai dan sekeping kerta bertulis nombor angka-angka disyaki kata laluan judi dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu seorang lagi suspek yang disyaki sebagai ejen penjual nombor loteri haram dicekup polis di pusat komersial Emart Batu Kawa pada jam 5.19 petang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka(ARJT) 1953 dan 4A(a) ARJT 1953. — DayakDaily