Dua cedera dalam kemalangan di Jalan Sarikei-Saratok

Pasukan bomba sedang menyelamatkan mangsa yang tersepit.

SARIKEI, 30 Mac: Dua lelaki dilaporkan cedera dalam kemalangan berdekatan simpang Selalang, Jalan Sarikei-Saratok hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.50 pagi.

“Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang telah melanggar simen pembahagi jalan.

“Pemandu kereta dilaporkan tersepit dan seorang pekerja penyelengara Pan-Borneo juga mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan bomba kemudian menyelamat mangsa yang tersepit dan seterusnya menyerahkan kepada pihak KKM.

Kedua-dua mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.50 pagi. — DayakDaily