Kerajaan beri peruntukan RM6.2 juta kepada 1,063 KRT di Sarawak

Fatimah (tengah, memakai merah) merakamkan kenangan bersama wakil-wakil penerima geran daripada setiap bahagian

SAMARAHAN, 22 Mac: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah hari ini menyampaikan geran berjumlah RM6.2 juta kepada 1,063 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri.

“Tahun ini kerajaan persekutuan menyediakan geran rukun tetangga sebanyak RM6.2 juta bagi Sarawak untuk memperkukuhkan peranan KRT dalam komuniti.

“Ia melalui pelaksanaan agenda kerja komuniti rukun tetangga yang merangkumi gerak kerja KRT sejahtera, selamat, sihat serta bersih dan indah,” katanya dalam ucapan di majlis yang diadakan di Dewan Suarah Samarahan.


Tambah Fatimah, kerajaan telah merangka beberapa strategi bagi merealisasikan hasrat menjadikan rukun tetangga sebagai entiti penting dan inklusif serta berupaya menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang kepada komuniti.

Katanya, ini sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negara.

Daripada jumlah keseluruhan RM6.2 juta, Bahagian Kuching mempunyai 219 KRT yang layak menerima RM1,314,000.

Ini diikuti Bahagian Betong yang mempunyai 98 KRT dengan peruntukan RM588,000. Bahagian Samarahan dengan 88 KRT menerima RM528,000, Serian dengan 23 KRT (RM138,000), dan Sri Aman dengan 56 KRT (RM336,000).

Manakala Bahagian Mukah dengan 74 KRT menerima RM444,000, Sibu dengan 80 KRT (RM480,000), Kapit dengan 42 KRT (RM252,000), Sarikei dengan 87 KRT (RM522,000), dan Bintulu dengan 59 KRT (RM354,000).

Bahagian Miri dengan 93 KRT menerima RM558,000, Limbang dengan 57 KRT (RM342,000) dan Lawas dengan 58 KRT menerima RM348,000.

Hadir sama Pengarah Perpaduan Negara Sarawak Dirwana Azool. — DayakDaily