Dua bot tunda bersama tongkang ditahan di Miri

Tongkang yang ditahan.
Advertisement

MIRI, 8 Feb: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan dua bot tunda bersama dua tongkang pada jarak lebih kurang 2.9 batu nautika barat daya Kuala Baram, Miri sekitar pukul 2.00 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, penahanan dibuat berikutan kegagalan operator mengemukakan sebarang dokumen berkaitan semasa pemeriksaan dilakukan.

Bot tunda pertama berserta tongkang dikendalikan lima kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan dua warga India berumur dalam lingkungan 25 hingga 54 tahun.

Advertisement

Manakala bot tunda kedua berserta tongkang pula dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada empat warga Indonesia, dua warga Malaysia dan seorang warga India, berumur dalam lingkungan 23 hingga 54 tahun.

Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60 dan Akta Kastam 1967 kerana disyaki gagal mengemukakan dokumen ketika diperiksa.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerabohan dan jenayah maritim yang berlaku diperairan Zon Maritim Malaysia.

Jika terdapat sebarang aduan serta maklumat berkenaan salah laku di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085 418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082 432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily

Advertisement