Dua beranak ditahan, disyaki terlibat aktivit penyalahgunaan dadah

Kelihatan dadah disyaki syabu atau methamphetamine yang dirampas dalam serbuan tersebut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 14 Sept: Dua beranak ditahan selepas dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Asli Bekenu pada malam semalam.

Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 46 tahun ditahan dalam satu serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, pihak polis menemui satu kotak besi warna hitam didalamnya mengandungi tiga paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methampetamine anggaran berat 31.00 gram yang dijumpai diatas katil milik salah seorang suspek.

Pemeriksaan selanjutnya didalam pondok hadapan rumah tersebut, anggota BSJND telah menjumpai satu bekas plastik warna hijau didalamnya terdapat dua paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine berat 50.05 gram yang ditemui diatas kerusi didalam pondok tersebut.

“Salah seorang suspek didapati positif dadah,” ujarnya.

Anggaran rampasan mengikut harga pasaran adalaj sebanyak RM8,100.

Berat keseluruhan dadah methamphetamine yang dirampas adalah sebanyak 81.05 gram.

Polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Kelisa milik suspek bernilai RM14,000.

Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek telah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah antara tiga ke lima tahun.

“Kedua-dua suspek mengaku selalu mendapatkan bekalan dadah melalui aplikasi WeChat disekitar kawasan Bandaraya Miri,” jelas Hakemal.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (14 September) untuk siasatan lanjut di bawah Seskyen 39B dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kedua-dua suspek ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan selanjutnya,” jelas Hakemal. — DayakDaily