DTTAS: Kembalikan status asal Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’

Elias Lipi Mat

KUCHING, 15 Nov: Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) gesa status asal Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’ seperti yang dipersetujui pada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan.

Presidennya Elias Lipi Mat berkata, pengembalian semula taraf status Sarawak dan Sabah di dalam Persekutuan Malaysia adalah penting dalam membentuk asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

“Status Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’ Persekutuan Malaysia perlu dikembalikan kerana penurunan statusnya kepada sebuah ‘negeri’, yang terjadi pada 1976 tidak harus berlaku.


“DTTAS mahu status asal diberikan kembali kepada negeri ini seperti yang dipersetujui pada 1963,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Elias, Parlimen pada 1976 telah melakukan perubahan dengan menukar status Sabah dan Sarawak sebagai negeri ke-12 dan ke-13 dalam Persekutuan Malaysia.

Dengan pindaan yang berkuatkuasa sehingga hari ini katanya, Sabah dan Sarawak telah diletakkan sebaris dengan negeri-negeri lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu.

“Ia sekaligus menampakkan seolah-olah berlakunya penurunan taraf daripada “rakan sekutu” Persekutuan Tanah Melayu kepada “anak” kepadanya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Elias menuntut agar Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan khas kepada Sarawak di bawah Artikel 112 Perlembagaan Malaysia.

“Formulanya belum jelas dan belum diberitahu, mesti ada formula untuk mendapatkan  peruntukan khas yang sepatutnya diberi kepada Sarawak mengikut Artikel 112D, Perlembagaan Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan perlu mempercepatkan pelaksanaan MA63 demi kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak,” ujar beliau. — DayakDaily