Dr Hazland menyokong penubuhan Majlis Perubatan Sarawak

Dr Hazland Abang Hipni

KUCHING, 23 Julai: Sarawak perlu memikirkan secara serius penubuhan Majlis Perubatan Sarawak (SMC) kerana ia satu cadangan yang baik kepada negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata cadangan tersebut amat perlu sebagai penyelesaian terbaik ke atas diskriminasi dan ketidak pedulian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) terhadap kakitangan perubatan Sabah dan Sarawak.

“Dalam hal ini KKM dan JPA tidak melihat keperluan sebenar rakyat Sarawak dalam bidang perubatan apabila menawarkan kekosongan jawatan doktor yang sedikit daripada kalangan anak tempatan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Hazland berkata demikian mengulas cadangan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mengenai pembentukan SMC dan menyatakan sokongan kepada cadangan terbabit.

Beliau berkata lebih memburukkan keadaan apabila ada kalangan doktor dari Semenanjung Malaysia enggan berkhidmat di Sarawak dan jawatan ini tidak ditawarkan kepada anak tempatan Sarawak.

“Satu lagi situasi yang mungkin tidak difikirkan MMC apabila kebanyakan doktor yang berkhidmat di Sarawak ini apabila tiba masanya mereka akan pulang ke kampung halaman mereka di semenanjung dan menyebabkan hilang perkhidmatan untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Katanya lebih memburukkan lagi MMC hanya diwakili seorang sahaja dari Sarawak dan Sabah yang menerusi kuota berbanding jumlah keseluruhan anggotanya seramai 33 orang.

“Ini menyebabkan kebanyakan keputusan berkaitan perubatan yang penting tidak mengambil kira keperluan dan kepentingan masyarakat di Sarawak dan Sabah serta hanya mementingkan masyarakat di Semenanjung Malaysia sahaja.”

Beliau juga menyokong cadangan itu kerana Sarawak amat memerlukan lebih banyak pakar perubatan di hospital awam di Sibu, Bintulu, dan Miri selain Kuching. Kekurangan tenaga manusia menyebabkan ada rakyat Sarawak seperti di Limbang dan Lawas terpaksa ke Miri atau Kuching bagi menerima rawatan pakar perubatan dan ini memerlukan kos dan masa. — DayakDaily