Disyaki rogol teman wanita bawah umur sehingga hamil, pemuda ditahan

Suspek (tengah) ditahan Polis Miri untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 19 Jun: Polis menahan seorang pemuda semalam kerana disyaki merogol teman wanitanya yang berusia 15 tahun sehingga hamil.

Mangsa kini sedang hamil lapan minggu.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek berusia 18 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pada Jumaat lepas sekitar jam 7.30 malam.

Tangkapan dilakukan selepas pihak polis dimaklumkan mengenai kandungan mangsa yang mencurigakan selepas melakukan pemeriksaan di sebuah klinik ibu dan anak di Lambir.

“Mangsa dikatakan telah datang ke klinik tersebut dan semasa petugas perubatan melakukan pemeriksaan terhadapnya, mendapati dia sedang hamil,” jelasnya.

Siasatan lanjut mendapati mangsa telah menjalinkan hubungan dengan suspek sejak awal tahun lepas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama diadakan melalui aplikasi Wechat.

Hakemal berkata, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol bawah umur. — DayakDaily