MIRI, 28 Sept: Misteri kehilangan lapan tan buah kelapa sawit dari sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan simpang BLD Jalan Lama Miri-Bintulu akibat tayar pancit, terungkai dengan penahanan seorang lelaki warga tempatan petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, pihaknya telah menerima laporan kehilangan buah kelapa sawit tersebut dengan anggaran kerugian sebanyak RM7,000 itu pada petang Sabtu (25 Sept) dari pengurus sebuah ladang sekitar jam 3 petang.
Ujarnya, suspek berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 4 petang di simpang BLD Batu Niah pada Isnin (27 Sept).
Polis turut merampas sebuah pacuan empat roda (single cap) dipercayai telah digunakan suspek membawa muatan kelapa sawit tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Dalam kejadian pada pagi Sabtu itu (25 Sept) pengadu telah menerima satu pesanan daripada aplikasi WhatApss pemandu lori yang membawa muatan buah kelapa sawit tersebut bahawa salah satu tayar kenderaan tersebut telah pancit.
Susulan itu, pemandu terbabit telah meletakkan lori itu di bahu jalan sementara menunggu mekanik datang untuk membantunya membaiki tayar yang rosak.
Namun, suspek dipercayai telah datang ke arah lori tersebut selepas menyedari ia tidak dijaga. — DayakDaily