Polis Marin gagalkan cubaan seludup 34,000 liter diesel di Limbang

Lori dirampas dan pemandunya ditangkap bagi membantu siasatan.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


LIMBANG, 28 Sept: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima berjaya gagalkan cubaan menyeludup 34,000 liter minyak diesel di Limbang pada 24 September lalu.

Menurut kenyataan akhbarnya, anggota dari PPM Limbang melalui Op Kontraban telah menahan dua buah lori di Logpong Kubong, di sini untuk pemeriksaan.

Katanya lori pertama yang diperiksa didapati membawa muatan diesel sebanyak 25,000 liter dan lori kedua membawa muatan diesel sebanyak 9,000 liter.


Hasil pemeriksaan juga mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Jelasnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 KPDNHEP.

Susulan itu, kedua-dua lori bersama muatan diesel dianggarkan keseluruhanya bernilai RM312,000 dirampas untuk siasatan lanjut.

Pemandu lori juga ditangkap untuk membantu siasatan.

Kes diserahkan kepada pengawai penyiasat KPDNHEP Limbang untuk siasatan lanjut. — DayakDaily