This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 15 Jun: Polis Sarawak memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menerbangkan dron sepanjang perarakan ‘Niti Daun’ sempena Sambutan Gawai Dayak bermula esok sehingga Sabtu ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata hanya dron milik TVS yang dibenarkan untuk membuat lipuran udara sepanjang berlangsungnya program tersebut.
Bagaimanapun, mana-mana pihak yang ada keperluan untuk menerbangkan dron dinasihatkan mendapatkan permit daripada pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia terlebih dahulu.
“Hanya dron TVS sahaja yang dibenarkan untuk membuat liputan udara semasa aktiviti berlangsung atas faktor keselamatan.
“Mana-mana dron yang dikesan diterbangkan tanpa permit sah, maka polis tidak akan teragak-agak untuk menyekat frekuensi penerbangan dron tersebut,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.
Selain itu, polis juga akan menutup beberapa laluan di pusat bandaraya bermula esok untuk hari raptai perarakan ‘Niti Daun’ dan hari perarakan sebenar.
Antara jalan yang terkesan ialah Bulatan Sri Aman, Jalan Padungan, Jalan Abell, Jalan Petanak, Jalan Bukit Mata, Jalan Wawasan, Lebuh Wayang, Jalan Carpenter, Jalan Old Court House, Jalan Khoo Hun Yeang, Jalan Gambir dan Jalan Power.
Orang ramai yang ingin berkunjung dinasihatkan untuk meletak kenderaan di kawasan ditetapkan seperti Bangunan Saujana, Plaza Merdeka, Taman Budaya, Bangunan Medan Pelita, Tun Jugah dan UTC.
Masa penutupan jalan tersebut adalah berdasarkan keadaan semasa trafik. — DayakDaily