Denda RM2,500 jika tidak suntik haiwan peliharaan dengan vaksin anti-rabies

A dog being administered with the anti-rabies vaccine during a vaccination programme in this file photo.

KUCHING, April 17: Pemilik anjing di negeri ini hendaklah memastikan anjing mereka disuntik vaksin anti-rabies atau anti-penyakit anjing gila.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memaklumkan, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pemilik anjing disabit kesalahan di bawah Seksyen 40, Ordinan Kesihatan Awam Veterinari 1999.

Kata JPBNS, pemilik anjing juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,500 dan anjing yang ditangkap tanpa bukti pemvaksinan anti-rabies boleh ditahan dan dimusnahkan.


“Antara lain, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil anjing terbiar yang tidak diketahui status kesihatan anjing tersebut terutama dari kawasan wabak rabies.

“Ia adalah untuk mengelak risiko jangkitan rabies sekiranya anjing itu telah dijangkiti virus rabies. Perkara ini adalah amat penting kerana terdapat anjing yang diambil telah disahkan positif dengan virus rabies,” kata JPBNS dalam satu kenyataan media hari ini.

JPBNS menambah, setakat ini jumlah keseluruhan kawasan yang telah diisytiharkan wabak rabies adalah sebanyak 30 kawasan dari lima bahagian iaitu Kuching (4), Samarahan (3), Serian (21), Sri Aman (1), dan Sarikei (1).

Jelas JPBNS, antara kawasan terjejas ialah Lorong 11, Batu 5, Jalan Semaba, Wet Market Sungai Maong, Kampung Serikin, Taman Alamanda Indah Matang, Kampung Sampun Gerunggang, Asajaya, Pasar Simunjan, Kampung Gawang Empili, Simunjan, Kampung Kerait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakong, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Seroban, Kampung Tangga dan Kampung Ampungan.

“Kawasan lain pula ialah Kampung Mentong Berawan, Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Pekan Siburan, Bandar Serian, Batu 45 Kuching-Serian, Kampung Temong Mura, Kampung Entubuh, Kampung Kuala Jalan Gedong, Kampung Telagus Serian, Ladang Masranti, Telagus, Sri Aman Rh. Janta, Punggu Mawang dan SMK Julau No. 2,” kata JPBNS lagi.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan sebanyak 16 kes gigitan baru kes gigitan haiwan dilaporkan pada hari ini.

Ia menunjukkan penurunan sebanyak dua (7.1 peratus) kes berbanding dengan hari sebelumnya iaitu sebanyak 16 kes (61.5 peratus) melibatkan gigitan anjing, di mana sebanyak 14 kes (87.5 peratus) melibatkan anjing peliharaan, manakala dua kes (12.5 peratus) melibatkan anjing tidak bertuan. — DayakDaily