Fadillah: Lebih 90 peratus projek dijanjikan Najib sudah dilaksanakan

Fadillah (duduk) berbincang dengan penduduk Kampung Semariang Batu dan Taman Sukma mengenai pembinaan masjid mereka ketika mengadakan mesyuarat membincangkan pembinaanya di sini, hari ini.

KUCHING, April 17: Sehingga kini lebih 90 peratus projek yang telah dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau mengadakan “Program Walkabout” yang turun padang melawat kawasan kediaman penduduk di Sarawak sudahpun dilaksanakan.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof berkata hanya segelintir projek terbabit belum dilaksanakan pembinaannya walaupun Najib sudah menunaikan semua janjinya bagi menyediakan peruntukan melaksanakan projek itu.

“Setakat ini keseluruhannya lebih 90 peratus projek yang telah dijanjikan Perdana Menteri ketika beliau mengadakan ‘Program Walkabout’ di Sarawak sudahpun dilaksanakan dan hanya segelintir belum dilaksanakan lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat membincangkan cadangan pembinaan Masjid Kampung Semariang Batu dan pembinaan Masjid Taman Ikhwanul Islam, Taman Sukma Semariang, di sini, hari ini.


Fadillah berkata sebagai pemantau pelaksanaan projek ‘Program Walkabout’ Najib di Sarawak, beliau mendedahkan segelintir projek dijanjikannya masih belum dilaksanakan kerana masalah berkaitan tapak tanah, pelan reka bentuk atau mendapatkan sumbangan orang ramai bagi menambah dana pelaksanaan projek.

“Ini seperti dua projek pembinaan masjid baru di kawasan Parlimen Petra Jaya iaitu Masjid Taman Ikhwanul Islam di Taman Sukma dan Masjid Nurul Khir di Kampung Semariang Batu,” katanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya.

Menurutnya projek pembinaan Masjid Taman Ikhwanul Islam di Taman Sukma belum dilaksanakan kerana tapak tanah asal projek terbabit telah digunakan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bagi membina satu dewan dan jawatankuasa pengurusan masjid tersebut sudah mengenalpasti tapak baru bagi projek itu.

“Namun, pelan reka bentuk asal masjid itu perlu ditukar kerana tapak tanah baru itu lebih kecil dari tapak tanah asal dan hari ini kami memuktamatkan pelan reka bentuk masjid itu serta membuat teguran mengenai perkara perlu diperbaiki arkiteknya,” katanya. Beliau menambah, pembinaan masjid berkenaan boleh dimulakan tidak lama lagi sebaik sahaja pelan reka bentuknya diluluskan pihak berkuasa negeri ini.

Manakala bagi Masjid Nurul Khir di Kampung Semariang Batu, Najib ketika program itu memberi komitmen sebanyak RM2 juta bagi membantu membina masjid terbabit tetapi tapak tanah projek itu didapati tidak sesuai dan jawatankuasa pengurusan masjid terpaksa mencari tapak tanah lain.

“Kos mendapatkan tapak tanah lain dan mengubah pelan reka bentuk masjid terbabit mencecah RM5.6 juta dan jawatankuasa pengurusan masjid terpaksa mendapatkan kutipan dari orang ramai bagi menampung kekurangan lebih RM3.6 juta bagi memulakan pembinaannya,” kata Fadilah, dan mendedahkan setakat ini jawatankuasa itu telah mampu mengutip sebanyak RM1 juta dari sumbangan orang ramai. — DayakDaily