Denda lebih berat jika ingkar jalani kuarantin 14 hari, kata Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 Julai: Penguatkuasaan undang-undang akan ditingkatkan dengan denda yang lebih berat dikenakan ke atas individu yang ingkar menjalani kuarantin 14 hari di rumah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia dilaksanakan berikutan kes-kes positif Covid-19 banyak berlaku dalam kalangan mereka yang pulang atau tiba dari luar negara.

Advertisement

“Saya hendak mengingatkan saudara-saudari yang pulang dari luar negara supaya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dengan penuh berdisiplin.

“Duduk di bilik yang berasingan dari ahli keluarga yang lain dan jangan sekali-kali keluar dari rumah sepanjang tempoh kuarantin.

“Anda juga mesti melakukan penilaian status kesihatan sendiri menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya pada Perutusan Khas yang disiarkan menerusi RTM hari ini.

Menurut Muhyddin, sekiranya gagal mematuhi arahan pengasingan ini, penalti boleh dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia terus memperkukuhkan kawalan di pintu masuk antarabangsa negara.

Katanya, antara langkah-langkah yang diambil ialah melakukan saringan suhu badan dan gejala jangkitan saluran pernafasan semasa ketibaan, menyemak keputusan saringan PCR Covid-19 yang dilakukan tiga hari sebelum pelawat berlepas ke Malaysia.

“Bagi kes yang bergejala atau dikesan positif Covid-19 akan terus dirujuk ke hospital, mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah di bawah seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari.

“Memastikan setiap orang yang tiba di Malaysia memuat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera.

“Mewajibkan mereka memakai gelang tangan dan memastikan mereka menjalani ujian pengesanan Covid-19 pada hari ke-13 kuarantin di rumah sebelum diberi pelepasan pada hari ke-14,” ujar beliau.-DayakDaily.

Advertisement