Covid-19: 21 kes baharu, 2 sembuh

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 Julai: Malaysia sekali lagi mencatat jumlah kes positif Covid-19 dua angka hari ini dengan 21 kes baharu direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 21 kes baharu itu, enam kes adalah kes import manakala 15 kes merupakan penularan tempatan.


“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,800 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus berkenaan sebanyak 122 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, enam kes import tersebut membabitkan mereka yang pulang dari Filipina, Denmark, Rusia dan India.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat dua kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,555 kes , iaitu bersamaan 97.22 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini terdapat tiga kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham berkata tiada kematian baharu dilaporkan; justeru itu jumlah kumulatif kes maut akibat wabak itu kekal sebanyak 123 kes atau 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. — DayakDaily