DBKU sedia 234 petak Bazar Ramadan di tiga lokasi

DBKU logo
Advertisement

KUCHING, 27 Jan: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menyediakan tiga buah lokasi tapak jualan Bazar Ramadan 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, DBKU memaklumkan bahawa ia melibatkan kawasan Satok, Semarak dan Sukma Ria.

“Jumlah keseluruhan petak Bazar Ramadan di ketiga-tiga lokasi tersebut adalah sebanyak 234 petak,” kata DBKU.

Advertisement

Permohonan petak jualan sempena Bazar Ramadan akan mula dibuka pada 7 Februari 2024 mulai jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang secara atas talian menerusi pautan di laman sesawang DBKU.

Semua pemohon diingatkan untuk mengemukakan nombor telefon dan e-mel yang sah bagi memudahkan pemakluman keputusan permohonan.

“Selain itu, pemohon juga dikehendaki untuk memuat naik dokumen lengkap.

“Hanya permohonan yang berjaya sahaja akan dihubungi oleh pihak DBKU melalui telefon/e-mel,” katanya.

Mereka yang berjaya dikehendaki membuat pembayaran dan hadir ke sesi taklimat serta cabutan nombor petak pada 2 Mac 2024 (Sabtu) bertempat di Auditorium DBKU, Bukit Siol, Jalan Semariang.

Bazar Ramadan Satok menyediakan 94 petak dengan bayaran RM450 bagi petak makanan dan minuman, manakala panggang RM500.

Bazar Ramadan Semarak pula menyediakan 24 petak dengan bayaran RM300 bagi petak makanan dan minuman, manakala RM400 bagi petak panggang.

Manakala Bazar Ramadan Sukma Ria menyediakan 116 petak dengan bayaran RM400 bagi petak makanan dan minuman, manakala panggang RM450. — DayakDaily

Advertisement