DBKU: Pendaftaran pengusaha dan penghantar makanan jualan secara atas talian

Keyboard. — Dayakdaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, April 28: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menggesa pengusaha dan penghantar makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendaftar perkhidmatan mereka secara atas talian.

Menurut pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad, borang dan kriteria pendaftaran kini boleh dimuat turun di laman web DBKU https://dbku.sarawak.gov.my.

“Selaras dengan arahan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19, semua pengusaha dan penghantar makanan hendaklah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” beliau mendedahkan menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, syarikat perkhidmatan penghantaran seperti Grab Food, Helpy Services, Food Panda, Lyfe dan sebagainya hendaklah memastikan pengusaha dan penghantar makanan mematuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh PBT.

Ia meliputi amalan pemakaian topeng muka, mencuci tangan dengan ‘hand sanitizer’ serta mengamalkan jarak sosial satu meter di antara satu sama lain.

Borang yang telah diisi bersama dengan dokumen sokongan yang lengkap boleh dihantar ke Bahagian Pelesenan DBKU Satok.

Kaunter akan dibuka bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari (Isnin-Khamis) dan 8.30 hingga 11.30 pagi (Jumaat).

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 082-234654 atau 082-234657. — DayakDaily