38 penumpang dan pemandu bas ekspres nyaris maut

Kelihatan bas ekspres yang terbalik di bahu jalan.

SRI AMAN, Julai 3: Seramai 38 penumpang termasuk pemandu sebuah bas ekspres nyaris maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Engkilili-Betong di sini malam ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 malam itu, bas ekspres tersebut terbabas dan terbalik di bahu jalan berkenaan selepas mengelak sebuah lori yang pecah tayarnya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 7.37 malam.


Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dan BBP Betong kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah bas ekspres dalam keadaan terbalik di bahu jalan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua penumpang termasuk pemandu bas berkenaan sudah keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini malam ini.

Tiong menambah, insiden tersebut telah mengakibatkan lima penumpang cedera di bahagian badan masing-masing.

Katanya, anggota bomba dari pasukan Kecemasan, Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS) kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa.

“Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. — DayakDaily