Dakwaan 15 MP letak jawatan, tindakan terdesak — PKR Sarawak

Senator Abun Sui Anyit
Advertisement

KUCHING, 26 April: Dakwaan 15 Ahli Parlimen meletak jawatan sengaja dimainkan pihak terdesak, kata Senator Abun Sui Anyit.

Menurut Abun yang juga Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, ia adalah cubaan menguji sama ada mainan mereka boleh dibeli oleh rakyat.

“Dalam keadaan kepimpinan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim yang semakin disenangi rakyat Malaysia tidak akan semudah itu mahu dipermainkan oleh ahli politik yang semata-mata dahagakan kuasa,” kata Abun dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Tambah beliau, ahli-ahli politik yang berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan sekarang umpama merosakkan negara yang sedang giat dibina semula oleh Anwar dan Kabinetnya.

Katanya, perbuatan ini jika berlaku adalah sesuatu yang sangat merugikan rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia yang semakin matang pasti akan menghukum pihak yang merosakkan negara dan menjatuhkan kepemimpinan Perdana Menteri yang terbaik yang pernah kita ada pada hari ini dan juga sangat disenangi pemimpin-pemimpin dari seluruh dunia,” kata Abun. — DayakDaily

Advertisement