Daging, lemak dan perut babi termasuk dalam Senarai Barangan Harga Terkawal CNY

Senarai harga daging, lemak dan perut babi dalam Senarai Barangan Harga Terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2019 yang disiarkan di laman Facebook KPDNKK Laman Rasmi.

KUCHING, Jan 29: Daging, lemak dan perut babi antara barangan yang termasuk dalam Senarai Barangan Harga Terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina (CNY) 2019.

Dalam kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna di laman Facebook KPDNKK Laman Rasmi hari ini, tarikh berkuatkuasa skim terbabit ialah dari 30 Januari sehingga 8 Februari 2019.

Mengikut senarai terbabit harga runcit maksimum daging dan lemak babi di kebanyakan kawasan di Sarawak ialah RM18.50 sekilogram manakala Kapit, Song dan Belaga (RM19 sekilogram) dan Limbang serta Lawas (RM20.50 sekilogram).

Di Semenanjung pula harga runcit maksimum daging dan lemak babi ialah RM15 sekilogram manakala Sabah ialah RM20 sekilogram.

Harga runcit maksimum perut babi pula di kebanyakan kawasan di Sarawak ialah RM19.50 manakala Kapit, Song dan Belaga (RM20 sekilogram) dan Limbang serta Lawas (RM21.50 sekilogram).


Di Semenanjung pula harga runcit maksimum perut babi ialah RM22 sekilogram manakala Sabah juga RM22 sekilogram.

Barangan lain dalam skim itu ialah ayam super, ayam hidup, ayam standard, kobis bulat import, bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar dan telur ayam gred A, B dan C. — DayakDaily