Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari Tahun 2022 dibuka untuk semakan

Logo Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

KUCHING, 16 Mac: Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Bulan Februari Tahun 2022 dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai 16 Mac hingga 14 April 2022.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Dato Indera Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini berkata, daftar tersebut telah diperaku pada 15 Mac 2022 dan diwartakan pada hari ini.

‘Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Bulan Februari Tahun 2022 ini mengandungi nama bagi 38,004 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Februari 2022 hingga 28 Februari 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.


“Sejumlah 11,385 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 5,839 orang pemilih bertukar status pengundi,” kata Ikmalruldin.

Tambah beliau, SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi daftar tersebut iaitu secara Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, Portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my, dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Semakan juga boleh dibuat melalui Aplikasi mudah alih MySPR Semak atau panggilan ke Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Justeru, Ikmalrudin menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Februari 2022 hingga 28 Februari 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT Februari 2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” ujar beliau.

Di samping itu, katanya, mana-mana pemilih berdaftar yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dapat berbuat demikian dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan. — DayakDaily