Curi 17 batang besi, seorang penganggur diberkas

Anggota polis menahan suspek yang mencuri batang besi.
Advertisement

Oleh Dean Adam

SERIAN, Okt 20: Tindakan seorang lelaki mencuri 17 batang besi jenis T25 di jalan berhampiran Jambatan Batang Sadong di sini mengundang padah apabila dia diberkas polis, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata suspek berusia 37 tahun dari Kampung Haji Baki itu diberkas kira-kira pukul 12.35 tengah malam.

Advertisement

Menurutnya, sebelum itu, pihak polis menerima panggilan daripada penyelia tapak projek di situ mengatakan terdapat seorang lelaki yang memandu sebuah van jenis Toyota sedang mencuri besi.

Kelihatan batang besi yang dicuri oleh suspek.

“Abang kepada penyelia berkenaan kemudian mengejar suspek dan berjaya menahan suspek di Jalan Batu 16 Kuching-Serian.

“Suspek kemudian diserah kepada anggota polis MPV IPD Kota Padawan bersama barang kes iaitu sebuah van dan 17 batang besi jenis T25,” katanya di sini hari ini.

Aswandy menambah, suspek dan barang kes kemudian dibawa ke Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut.

Katanya, suspek akan dipohon reman selama empat hari bagi membantu siasatan. — DayakDaily

Advertisement