Cuepacs Sarawak harap jalin kerjasama erat dengan pimpinan baharu

Omar Bahrein Unin

KUCHING, 21 Ogos: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak berharap dapat bekerjasama erat dengan pimpinan Perdana Menteri yang baharu Datuk Seri Ismail Sabri.

Pengerusinya Omar Bahrein Unin berkata, ia penting dalam menangani kebajikan penjawat awam dan permasalahan perkhidmatan di seluruh negara.

“Harapan kita agar perdana menteri boleh memberi tumpuan kepada perkhidmatan awam sebagai tulang belakang kerajaan dalam pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dengan pelantikan itu, Omar berharap semua penjawat awam akan terus menumpu perhatian kepada penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih tekun, berdedikasi, berintegriti dan berkualiti.

Penjawat awam Persekutuan dan Negeri Sarawak juga diminta terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah serta jujur selaras dengan ikrar aku janji perkhidmatan awam.

“Sentiasa bersedia dan setia berkhidmat dengan kerajaan hari ini apabila menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam.

“Penjawat awam diminta membantu kerajaan melaksanakan dasar demi kesejahteraan rakyat merealisasikan wawasan kemakmuran bersama,” ujar Omar. — DayakDaily