Pemuda PBB yakin PM Ke-9 beri nafas baru dalam pentadbiran negara

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu logo

KUCHING, 21 Ogos: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) percaya pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Ke-9 dapat memberi nafas baru dalam pentadbiran negara.

Ketua Pemuda PBB Gerald Rentap Jabu berkata, kerajaan persekutuan yang akan ditubuhkan kelak dapat mengeratkan lagi hubungan persekutuan dan Sarawak dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kami juga menyokong sepenuhnya keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Abang Johari dalam menstabilkan politik tanah air.


“Dengan pelantikan ini, Pemuda PBB berharap agar perdana menteri diberi peluang dan ruang untuk menggubal dasar dan perancangan untuk menangani krisis Covid-19 dan ekonomi demi kemaslahatan semua,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Gerald, hasrat kerajaan negeri yang diterajui GPS adalah untuk menguruskan negeri ini dengan baik dan tidak dibelenggu dengan perebutan kuasa.

Dalam masa yang sama katanya, Kerajaan akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya untuk melandaikan lekuk Covid-19 di Sarawak yang semakin meningkat.

“Pemuda PBB yakin Kerajaan negeri juga akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan Pelan Pemulihan Ekonomi Sarawak yang telah diumumkan baru-baru ini dengan jayanya demi rakyat Sarawak,” ujar beliau. — DayakDaily