Cubaan pemuda melarikan SUV gagal apabila melanggar sebuah lagi kenderaan

Cubaan suspek melarikan sebuah SUV gagal, apabila melanggar sebuah kenderaan lain pada Jumaat.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 10 Sept: Cubaan seorang lelaki warga Indonesia melarikan sebuah kereta jenis Sport Utility (SUV) di Simpang Beluru tengahari tadi (10 Sept), tidak kesampaian apabila dia ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12 tengahari tadi ketika pemillik kenderaan berkenaan yang berusia 58 tahun berhenti membeli minuman.


“Mangsa telah meletakkan kenderaan tersebut di tepi jalan, dan sebaik sahaja dia keluar dari kereta, suspek telah menyelinap masuk dan cuba membawa lari kenderaan tersebut,” ujarnya.

Namun, cubaan suspek tersebut gagal, apabila dia melanggar satu lagi kenderaan lain yang diparkirkan berhadapan kenderaan mangsa.

Dalam keadaan panik, suspek telah ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Suspek berusia 33 tahun itu kemudian telah diserahkan kepada pihak polis. — DayakDaily