Covid-19: Dua daerah kembali hijau, tiga lagi masih berstatus merah di Zon Miri

Kelihatan Lee (kiri) ketika menghadiri mesyuarat JPBB Miri.

KUCHING, 19 Mei: Daerah Marudi menjadi daerah kedua diumumkan kembali ke status hijau dua hari lalu selepas Daerah Telang Usan pada 10 Mei lepas.

Menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, ini menjadikan terdapat tiga lagi daerah di Zon Miri masih berstatus merah.

“Tiga daerah yang masih bersatus merah ialah Daerah Subis, Daerah Miri dan Daerah Beluru,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, sehingga kini terdapat dua buah rumah panjang di Subis dan sebuah institusi pendidikan di Beluru masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan pergerakkan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, daripada tiga kawasan terbabit, PKPD di Rumah Libau, Subis dijangka akan ditamatkan hari ini (19 Mei) sementara Rumah Genatan pada 21 Mei nanti.

Manakala PKPD di Sekolah Kebangsaan Long Jegan dijangka akan ditamatkan pada 23 Mei depan.

“Sementara itu, JPBB Miri juga memaklumkan telah menamat PKPD di 11 buah rumah panjang dengan lima buah rumah panjang terbabit terletak di Beluru, empat buah di Subis dan dua buah lagi terletak di Marudi,” katanya.

Lee berkata, susulan penularan Covid-19 di Long Jegan, seramai 206 orang penduduk yang menjadi kontak rapat kepada kes indeks dipindahkan ke pusat kuarantin.

Katanya pemindahan tersebut dilakukan JPBB Miri dengan bantuan logistik daripada Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Zon 6 Miri.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bomba Miri kerana bertungkus-lumus membawa keluar kontak rapat dari Long Jegan dengan melalui perjalanan hampir empat jam sebelum sampai di pusat kuarantin di Miri,” katanya.

Lee dalam pada itu turut mengesaahkan bahawa beliau telah mengarahkan semua pegawai daerah di Zon Miri untuk memastikan pematuhan sepenuhnya prosedur operasi ‘standard’ PKPB sama ada di rumah panjang-rumah panjang atau kampung-kampung dibawah seliaan masing-masing.

Ujarnya, pasukan penguatkuasa Daerah Miri akan terus melakukan pemantauan secara ketat atas pematuhan SOP PKPB dan akan mengenakan kompaun kepada mana-mana pihak yang ingkar SOP.

“Kita pernah berada di zon hijau selama 172 hari pada tahun lepas dan saya minta jangan leka dan dalam keadaan seperti sekarang, lebih berhati-hati dan berusaha bersungguh-sungguh. Bagi individu yang ada gejala, jangan turun kerja dan terus ke klinik kesihatan yang terdekat,” katanya. — DayakDaily