Covid-19: 4,284 kes baharu dan 18 kematian

Dr Noor Hisham

KUCHING, 3 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) memaklumkan bahawa terdapat 4,284 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 4,278 kes tempatan dan 6 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 226,912 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 48,309 kes,’katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,572 kes. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 964 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 651 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 3,804 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 177,794 kes atau 78.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 307 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) termasuk 141 kes memerlukan bantuan pernafasan,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 18 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 809 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 5 kes di Selangor, masing-masing 3 kes di Sarawak dan Negeri Sembilan, 2 kes di Perak, dan masing-masing 1 kes di Melaka, Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, dan Sabah.

“Sebanyak 17 kes kematian pada hari ini melibatkan warganegara dan 1 kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,”ujar beliau.-DayakDaily