Covid-19: 1,354 kes baharu dan 4 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 14 Mac: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,354 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,340 kes tempatan dan 14 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 323,763 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 16,279 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 577 kes. Ini diikuti oleh Sarawak dengan 178 kes dan Pulau Pinang dengan 154 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,782 kes pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 306,274 kes atau 94.60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 158 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 71 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,210.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan masing-masing satu kes di Selangor dan Sarawak.

“Keempat-empat kes merupakan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat tiga kluster baharu yang telah dikenal pasti hari ini yang melibatkan dua kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti. — DayakDaily